Home Top Ad

Ini antara kisah rumah tangga sahabat Nabi yang saya rasa penting diketahui umat masa kini. Banyak pedoman dan jawapan kepada kemusykilan se...

Ini antara kisah rumah tangga sahabat Nabi yang saya rasa penting diketahui umat masa kini. Banyak pedoman dan jawapan kepada kemusykilan semasa. Di sini saya permudahkan kisahnya.

Dulu isteri Abdullah bin Mas'ud yang bekerja dan menanggung makan minum suami dan anak-anak. Beliau buat barang perhiasan. Pada suatu hari beliau mendengar kuliah muslimat yang disampaikan oleh Nabi. Kesannya, beliau pun bersemangat nak bersedekah. Pulang ke rumah, beliau terus kumpulkan sebahagian barang perhiasan untuk disedekahkan.

Melihat keadaannya itu, suaminya, Ibn Mas'ud pun menegur, 

أَيْنَ تَذْهَبِينَ بِهَذَا الْحُلِيِّ؟

"Awak hendak ke mana dengan barang perhiasan ini?"

Beliau memberitahu, "Saya hendak mendekatkan diri kepada Allah dan Rasul-Nya dengannya. Semoga Allah tidak jadikan saya ahli neraka." (Riwayat Ahmad)

Dalam riwayat lain, beliau berkata, 

لَقَدْ شَغَلْتَنِي أَنْتَ وَوَلَدُكَ عَنِ الصَّدَقَةِ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَتَصَدَّقَ مَعَكُمْ بِشَيْءٍ

"Awak dan anak awak menyibukkan saya daripada bersedekah selama ini. Saya tidak boleh bersedekah langsung setakat ini." (Riwayat Ahmad)

Abdullah bin Mas'ud pun membalas, "Sungguh saya pun tidak suka awak buat jika tidak ada pahalanya." (Riwayat Ahmad)

Beliau berkata lagi,

هَلُمِّي تَصَدَّقِي بِهِ عَلَيَّ وَعَلَى وَلَدِي، فَأَنَا لَهُ مَوْضِعٌ

"Belanjalah dengannya kepada saya dan anak saja. Sayalah tempat yang sepatutnya."

Isterinya membalas, "Tidak. Tunggu saya bawa pergi jumpa Nabi dulu!" (Riwayat Ahmad)
 
Beliau pun pergi mengadu kepada Rasulullah. Antara yang beliau kata, "Wahai Rasulullah, saya seorang wanita yang ada kerja sendiri. Hasil kerja itu saya boleh membeli. Tidak ada pendapatan lain bagi saya, anak saya dan suami saya selain daripada itu. Adakah saya dapat pahala atas setiap yang saya belanjakan?" (Riwayat Ahmad)
 
Dalam riwayat lain, beliau juga menyebut, "Hari ini tuan perintahkan bersedekah. Saya ada barang perhiasan. Jadi saya hendak sedekahkannya. Namun Ibn Mas'ud mendakwa bahawa dia dan anaknya ialah orang yang paling berhak untuk saya sedekahkan."

Nabi pun jawab,

‎صَدَقَ ابْنُ مَسْعُودٍ، زَوْجُكِ وَوَلَدُكِ أَحَقُّ مَنْ تَصَدَّقْتِ بِهِ عَلَيْهِمْ

"Betul Ibn Mas'ud. Suami awak dan anak awak ialah orang yang paling berhak untuk awak sedekahkan kepada mereka." (Riwayat al-Bukhari) 

Dalam riwayat lain, Nabi jawab,

‎نَعَمْ، لَهَا أَجْرَانِ، أَجْرُ القَرَابَةِ وَأَجْرُ الصَّدَقَةِ

Ya, dia dapat dua jenis pahala lagi. Pahala kekeluargaan dan pahala sedekah." (Riwayat al-Bukhari)

Tamat.

Begitulah. Dalam soal rumah tangga, agama tidak ketat dan kaku. Suami mesti buat A, isteri kena buat B. Maka suami tidak boleh buat kerja isteri. Isteri tidak boleh buat kerja suami. 

Sebaliknya Islam hanya letakkan prinsip-prinsip asas. Suami disanjungi, ditaati, isteri disayangi, dilindungi. Rasulullah nasihat para isteri bahawa suami ialah 'syurga atau nerakamu'. Dalam masa yang sama Nabi tegur para suami yang kasar, "Mereka bukan orang baik. Orang baik, ialah orang yang baik dengan isterinya."

Adapun bagaimana nak hidup berkeluarga, terserahlah kepada suami isteri atas perbincangan, persefahaman dan kerjasama antara mereka berdasarkan situasi masing-masing yang berbeza dengan orang lain justeru jangan hendak disamakan. 

Apa yang tercetus di fikiran apabila baca kisah ini? Komen ya.